Banner 468x60

PILIH SIARAN DISINI -# siaran tv, radio,astro Live Streaming # #

ping blog
TERKINI

PASIR SALAK MENANGIS

PASIR SALAK MENANGIS

ANTARA adegan yang terdapat dalam dokumentari Tangisan Pasir Salak.
Melihat keseluruhan dokumentari Tangisan Pasir Salak , nyata ia adalah sebuah naskhah yang baik terutamanya bagi mereka yang tidak mengetahui sejarah disebalik Pasir Salak.
Penderitaan penduduk Pasir Salak yang satu ketika hidup selesa kemudian dicengkam dek kehadiran orang luar dan pemberontakan penduduk, disentuh hingga menyentuh perasaan penonton.
Secara keseluruhan, ia mengisahkan perjuangan Datuk Maharaja Lela, serta pahlawan-pahlawan Melayu lain dalam usaha menentang British yang diketuai J. W.W. Birch di Pasir Salak pada zaman itu.
Bagi pengarahnya, Jamal Lulkhir Jaludin, dokumentari berdurasi 23 minit itu mengambil masa selama dua tahun sebelum ia dapat dibentuk menjadi sebuah dokumentari.
"Masa dua tahun itu digunakan sepenuhnya untuk melakukan kajian dan proses penggambaran. Saya bertemu sendiri dengan penduduk asal Pasir Salak yang pernah melalui era pemberontakan itu.
"Malah, sebahagian besar daripada penduduk itu sebenarnya sudah tidak berada di Pasir Salak lagi. Itu yang saya terpaksa mencari hingga ke luar Perak untuk menjejak waris-waris Pasir Salak ini," jelasnya.
Melalui dokumentari filem ini juga, banyak adegan yang dilakonkan semula untuk memberi gambaran sebenar kejadian yang berlaku ketika itu.
"Melalui lakonan semula itu, penonton dapat merasakan emosi dan impak terhadap apa yang berlaku. Tambahan, ia dapat memudahkan penonton untuk memahami plot penceritaan," katanya.
Ditanya mengenai kos penerbitan pula, Jamal berkata, sejumlah RM200,000 dibelanjakan termasuk kos kaji selidik, penggambaran dan pos produksi.
"Mengenai kos itu memang agak sukar kerana saya terpaksa mencari wang sendiri untuk menerbitkan tetapi masih ada pihak yang mahu memberi dana kepada saya.
"Sebahagian besar dana telah diberikan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang seterusnya menjadi pemilik kepada dokumentari ini.
"Selain Finas, ada juga syarikat-syarikat, kerajaan negeri Perak, badan Korporat dan orang perseorangan yang tampil memberi dana untuk menjayakan dokumentari ini," katanya.

Buntu dengan tarikh tayangan
Memulakan penggambaran pada 2010, sehingga memasuki 2013, dokumentari ini belum lagi ditayangkan.
Malah, ketika ditanya mengenai bila dokumentari ini akan ditayangkan, jelas Jamal, ia terpulang kepada Finas untuk menentukan bila waktu yang sesuai untuk ditayangkan.
"Saya tidak tahu bila ia akan ditayangkan. Dokumentari sudah siap dan diserahkan pada bulan Julai yang lalu dan saya menjangkakan ia akan ditayangkan sempena Hari Kemerdekaan.
"Ramai yang bertanya kepada saya, bila akan ditayangkan dan saya cakap pada bulan Ogos. Tetapi, perkara sebaliknya berlaku. Saya menunggu sama ada ia akan ditayangkan pada sambutan Hari Malaysia pula, juga tidak mendapat siaran di televisyen.
"Jadi ketika ini, saya hanya menunggu sahajalah bila Finas akan mengeluarkan dokumentari ini. Saya kecewa sebenarnya kerana Finas memilih untuk peram dokumentari saya sehingga kini," ujarnya.
Luah Jamal lagi, dia mengambil masa yang lama untuk menyiapkan dokumentari ini dan kesal sekiranya usahanya mengangkat sejarah negara ini sekadar di pandang enteng dan sekadar memenuhi arkib Finas sahaja.
Jawapan yang diberikan oleh Jamal ini menimbulkan tanda tanya seperti terdapat krisis di antara dia dan juga pihak Finas.
Masakan tidak, Jamal memberitahu yang dokumentari ini adalah kepunyaan pihak Finas, tetapi, yang membuat majlis pratonton itu tidak langsung melibatkan badan berkenaan.
Jadi ini menimbulkan tanda tanya mengenai hak pengarah membuat pratayang atas tindakan sendiri sedangkan dokumentari itu bukan lagi miliknya.Malah, atas alasan apa Finas memeram sebuah karya sejarah yang dianggap baik sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati oleh pengarahnya.

Finas boleh saman
Wartawan Hits yang tidak berpuas hati terus menghubungi Pengarah Produksi Finas, Subaidah Md. Top mengenai kes dokumentari ini dan nyata pihaknya sudah sedia maklum dengan perkara ini.
Menurut Subaidah, sebenarnya mereka mahu menayangkan dokumentari itu di televisyen ketika bulan kemerdekaan yang lalu, tetapi tidak berjaya kerana slot sempena kemerdekaan sudah penuh.
"Buat masa ini, kita tidak lagi mempunyai tarikh yang tepat mengenai bila dokumentari ini akan disiarkan tetapi kita mahu siarkan untuk siaran sempena Hari Kemerdekaan tahun hadapan," jelasnya.
Ditanya mengenai tindakan pengarah dokumentari itu yang membelakangi Finas sebagai empunya dokumentari, jelasnya, Finas boleh mengemukakan saman terhadap tindakannya itu.
"Pihak kami tahu yang dia ada menyiarkan pratonton kepada pihak media tanpa merujuk kepada Finas dan kita sebenarnya boleh mengemukakan saman atas tindakannya itu.
"Tetapi kita tidak mahu membuat keputusan seperti itu kerana Finas ada strategi pemasaran tertentu untuk kita mengeluarkan sesuatu bahan yang dimiliki oleh Finas," jelasnya.
Tambahnya lagi, dana sudah diberi dan perjanjian sudah dikemukakan untuk menjadikan dokumentari itu milik Finas, jadi ia terpulang kepada Finas untuk bila ia akan ditayangkan.
"Setiap bahan yang dihasilkan oleh Finas semestinya kita akan siarkan dan mahukan yang terbaik. Jadi, sebelum ditayangkan, kita lihat juga slot-slot yang sesuai untuk ditayangkan.
"Malah, Finas sendiri bukan sahaja mahukan ia ditayangkan hanya di dalam negara sahaja, tetapi juga di luar negara kerana ia adalah maklumat tentang sejarah negara," katanya.